Prinsip pertama Rukun Negera ialah Kepercayaan Kepada Tuhan. Ia menjadi nadi pembinaan jati diri masyakat Malaysia dan sewajarnya menjadi panduan dan pedoman hidup bermasyarakat oleh seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Pada dasarnya, prinsip ini mengungkapkan bahawa rakyat Malaysia berpegang teguh kepada kepercayaan kepada Tuhan. Ini bermakna Malaysia adalah negara yang menolak sebarang ideologi yang tidak mempercayai wujudnya Tuhan (atheisme).
Kepercayaan kepada Tuhan mampu menjadikan masyarakat berpegang teguh kepada nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama. Jika masyarakat berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing secara postif maka ia dapat membentuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
Melalui ikatan keagamaan, manusia akan bertindak sebagai seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian negara. Rakyat juga akan sentiasa berasa bersyukur dalam kehidupannya.